Surat Terbuka Kepada Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh, Presiden, Sime Darby Berhad

Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh

Presiden dan Ketua Eksekutif

Sime Darby Berhad,

 

YBhg Tan Sri, 

 

Penglibatan Caterpillar dan Hyundai dalam Kekejaman terhadap Rakyat Palestine 

—————————————————————————————————–

 

Susulan pertemuan kita pada 20 Julai 2016, BDS Malaysia masih menunggu untuk mendapatkan keputusan dan tindak-balas pihak Sime Darby, yang dijanjikan oleh Tan Sri.

 

Seperti yang dimaklumkan semasa perjumpaan kita, BDS (Boycott, Divest Sanction), adalah sebuah NGO global yang non-partisan ( http://bdsmovement.net/call ). Kami di Malaysia adalah sebahagian daripada usaha yang bergiat secara aman di peringkat antarabangsa bagi menentang kezaliman Israel melalui  aktiviti  boikot, pelupusan saham dan sekatan. Usaha  ini disokong oleh berbagai pihak termasuk para ilmuan, aktivis, pertubuhan bukan kerajaan, majlis perbandaran dan lain-lain dari merata pelusuk dunia.  

 

Usaha BDS ini adalah bagi menyahut seruan lebih daripada 170 organisasi masyarakat sivil Palestin, untuk perpaduan global, dan penggunaan boikot, pelupusan saham dan sekatan, untuk memberi tekanan kepada Israel agar mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa.

 

Matlamat gerakan BDS adalah untuk  Israel mengiktiraf Hak Asasi Negara dan Rakyat Palestin, dan mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa dengan:

 

1. Mengakhiri pendudukan dan penjajahan ke atas semua tanah Arab dan   merombak Tembok Pemisah

2. Mengiktiraf hak asasi warga Arab-Palestin di Israel untuk kesaksamaan sepenuhnya; dan

3. Menghormati, melindungi dan mempromosi hak-hak pelarian Palestin untuk kembali ke rumah dan harta tanah mereka seperti yang ditetapkan dalam resolusi PBB 194

 

Di antara aspek kezaliman rejim Israel ialah pemusnahan dengan rakus puluhan ribu rumah kediaman milik rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Aktiviti tidak berperikemanusiaan ini kadangkala dilakukan walaupun penghuni masih berada di dalam rumah. Ini sering mengakibatkan kematian. Jentera yang paling kerap digunakan oleh rejim zalim Israel ialah yang dibekalkan oleh syarikat Caterpillar dan Hyundai. 

 

Di samping itu, jentera-jentera tersebut juga digunakan untuk membina ratusan penempatan haram Israel di atas tanah yang dirampas secara haram dari rakyat Palestin. 

 

Oleh itu BDS Malaysia sekali lagi menyeru Sime Darby sebagai pengedar jentera Caterpillar dan kereta Hyundai di Malaysia, untuk berganding bahu bersama kami, serta seluruh masyarakat dunia yang bencikan kezaliman dalam memberi tekanan kepada syarikat Caterpillar dan Hyundai.  Syarikat-syarikat tersebut  hendaklah memastikan bahawa jentera yang mereka keluarkan tidak akan digunakan oleh Israel untuk menzalimi rakyat Palestin dan mencabuli hak asasi mereka. Sime Darby juga perlu menyarankan syarikat Caterpillar dan Hyundai supaya memutuskan terus hubungan mereka dengan rejim zalim Israel.

 

Kami pasti semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kedamaian menyokong usaha murni ini.

 

Sekian, terima kasih.

 

Yang benar,

Prof Dr. Mohd Nazari Ismail

Pengerusi, BDS Malaysia.