KENYATAAN MEDIA
22 Oktober 2018
KERAJAAN MALAYSIA BERTANGGUNGJAWAB MENYEKAT PERDAGANGAN ANTARA MALAYSIA DAN NEGARA APARTHEID ZIONIS ISRAEL
Boycott, Divest, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) sangat kecewa dan bimbang susulan dari laporan baru-baru ini yang menyatakan bahawa Malaysia adalah pembeli alat intipan (spyware) yang dihasilkan oleh Israel.
Sekiranya laporan itu benar, ia adalah satu petunjuk bahawa terdapat hubungan dagang antara Malaysia dan negara apartheid Zionis walaupun secara rasmi kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Israel, sama ada diplomatik, budaya atau ekonomi.
Rakyat Malaysia harus memahami bahawa selagi negara apartheid Zionis Israel dilayan dengan hormat, atau secara biasa, ia akan menyangka bahawa dasarnya yang menindas terhadap rakyat Palestin adalah diterima oleh masyarakat antarabangsa. Ini akan menyebabkan usaha keamanan yang adil untuk semua pihak dalam konflik Palestin-Israel sukar dicapai. Sebenarnya Israel harus diberi tindakan yang sama yang telah diberikan kepada rejim apartheid Afrika Selatan dahulu. Rejim tersebut telah dijatuhkan melalui kempen boikot dan sekatan dan inilah cara yang perlu digunakan untuk menghapuskan rejim apartheid Israel. Negara apartheid Zionis ini mesti terus menjadi sasaran kempen untuk mengasingkannya dari masyarakat dunia.
Dalam hal ini, BDS Malaysia kecewa bahawa hubungan perdagangan telah wujud antara Malaysia dan Israel sejak beberapa tahun yang lalu walaupun ianya dilaporkan berlaku ketika Malaysia berada di bawah kerajaan BN yang telah tidak lagi berkuasa.
Kami dengan sukacitanya mengalu-alukan pendirian pro-Palestin yang kuat oleh kerajaan Malaysia yang baru dan menggesanya mengambil langkah-langkah yang bermakna untuk menyekat sebarang perdagangan haram dengan negara apartheid Zionis. Oleh itu, BDS Malaysia menggesa kerajaan untuk:
a) menyiasat kebenaran tuduhan mengenai pembelian alat intipan (spyware) dari Israel oleh kerajaan Malaysia, dan jika ia benar, mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab dalam hal itu.
b) merangka dan mengumumkan di Parlimen langkah-langkah untuk mengesan dan mengekang perdagangan haram dengan Israel.
Rakyat dan kerajaan Malaysia tidak sepatutnya meremehkan kemampuan mereka untuk menyumbang kepada usaha menyekat kezaliman terhadap rakyat Palestin. Menyekat import produk Israel dan membasmi perdagangan dengan negara apartheid Zionis ini akan melemahkan mereka dan akan membantu perjuangan mulia menegakkan keadilan di Palestin.