Soalan Lazim BDS Malaysia

Apa itu Boikot, Lupus & Sekat (Boycott, Divestment & Sanctions – BDS) terhadap Israel?

BDS adalah satu panggilan global oleh lebih daripada 170 gerakan masyarakat sivil Palestin yang mengajak orang ramai bersolidariti bersama Rakyatnya (http://bdsmovement.net/call) melalui boikot dan sekatan (pengguna, akademik & budaya) terhadap Israel.

 

Apakah inspirasi disebalik penubuhan BDS?

Ilham penubuhan BDS datang daripada melihat kejayaan gerakan anti-aparteid seumpamanya di Afrika Selatan. Penerima Nobel Laureate (1987), Archbishop Emeritus Desmond Tutu, yang sekian lama & penuh bersemangat berjuang menentang aparteid dulunya, turut menyokong BDS. Tutu pernah menyatakan bahawa keadaan penduduk Palestin mengingatkan beliau kepada situasi di Afika Selatan ketika zaman aparteid: https://electronicintifada.net/blogs/ali-abunimah/south-african-church-leaders-endorse-israeli-apartheid-week

 
 

Apakah objektif BDS?

Matlamat BDS adalah untuk memberi tekanan berterusan kepada Israel sehingga rejim tersebut memenuhi kewajipannya mengiktiraf hak mutlak Rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri. Israel juga haruslah mematuhi kesemua ketetapan yang telah diputuskan undang-undang antarabangsa dengan:

 
  1. Mengakhiri & menarik diri dari semua wilayah Arab yang didudukinya secara haram serta merobohkan Tembok Pemisah (Apartheid Wall).

  2. Mengiktiraf hak asasi Rakyat Israel berketurunan Arab-Palestin untuk menikmati kesamarataan hak.

  3. Menghormati, melindungi & mempromosikan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air mereka sepertimana termaktub dalam resolusi PBB 194.

 
 

Adakah BDS terhadap Israel dipelopori parti serta ahli politik tertentu sahaja?

Tidak. BDS Malaysia adalah sebahagian daripada satu gerakan antarabangsa yang bersifat berkecuali. Tidak kira samada BN, PAS, PKR, DAP, AMANAH atau lain-lain parti, BDS tidak terlibat sama sekali dengan sebarang bentuk politik berpartisan Malaysia. Begitu juga keadaannya bagi BDS Antarabangsa, yang antara lain, turut disokong oleh ahli akademik, aktivis, NGO-NGO, majlis perbandaran tempatan, serta pelbagai persatuan, agensi & individu lain diseluruh dunia.

 

Adakah BDS menyerang/ menentang orang Yahudi secara umum?

Tidak, BDS bukanlah bersifat anti-semitik. Malah, Jawatankuasa Kebangsaan BDS Palestin (Palestinian BDS National Committee – BNC) jelas adalah anti-perkauman. Hakikat ini dikuatkan menerusi kenyataan Omar Barghouti, salah seorang pemimpin utama gerakan BDS di Palestin, yang menyebut, “BDS merupakan satu gerakan sejagat yang menentang semua bentuk perkauman termasuklah sikap Islamofobia & anti-semitik. Tiada kompromi dalam hal ini. Walau apapun yang terjadi, janganlah kita membuka pintu kepada orang-orang yang bersikap perkauman”.

 

Yonatan Shapira, bekas juruterbang tentera Israel, pula menyebut, “Saya adalah ahli boikot dari dalam – maksud saya, sebahagian dari kalangan orang-orang di Israel yang menyokong usaha BDS ini. Mulanya saya agak risau tidak diterima, tapi sesudah membaca garis panduan BDS, saya berasa cukup selesa untuk terus bersama dalam perjuangan ini”.

 

Bukankah memboikot Israel, tapi menggunakan Facebook atau apa-apa produk yang dihasilkan orang Yahudi tindakan hipokrit?

BDS menggunakan boikot sebagai salah satu taktik untuk memberi tekanan kepada Israel. Contohnya dengan menyasarkan syarikat-syarikat yang bersekongkol dengan rejim Zionis menindas Rakyat Palestin. BDS tidak secara sembarangan menyasarkan semua orang Yahudi di seluruh dunia, mahupun syarikat-syarikat yang dimiliki mereka hanya atas alasan mereka orang Yahudi.

 

Betul, saya juga menentang kekejaman Israel, tapi kenapa negara-negara lain seperti Amerika Syarikat contohnya, tidak turut di boikot?

BDS terhadap Israel adalah satu bentuk panggilan bersifat taktikal oleh masyarakat sivil Palestin. Menyokong BDS tidak bermaksud anda hanya boleh menyokong kami & tidak dibenarkan menyokong gerakan boikot lain. Anda harus mengambil kira baik buruk sesuatu boikot sebelum membuat keputusan untuk menyertainya atau tidak. Pada masa yang sama anda memberi sokongan kepada BDS, anda juga bebas, malah digalakkan, menentang ketidakadilan yang berlaku ditempat lain. Memetik kata Nelson Mendela, “Boikot bukan suatu prinsip, ia adalah satu taktik yang diatur mengikut keadaan”.

 

Tambahan lagi, isu Palestin, seperti juga di Afrika Selatan dahulunya, melibatkan panggilan boikot oleh orang-orang yang ditindas itu sendiri. Sehubungan itu, masyarakat sivil Palestin melalui BDS, mengajak masyarakat dunia membantah secara aman kekejaman Israel terhadap Rakyat Palestin.

 

Saya membantah kekejaman Zionis, tapi bukankah memboikot mereka akan membantutkan lagi usaha mengubah hati & minda masyarakat Israel?

Ada dikalangan masyarakat di Israel yang mula berani tampil membantah tindakan & kekejaman yang dilakukan kerajaan mereka, contohnya seperti pertubuhan hak asasi manusia, B’Tselem. Golongan seperti inilah yang harus kita bantu. Mengulangi kenyataan kami sebelum ini, BDS TIDAK menyasarkan orang Yahudi mahupun penduduk Israel secara pukal. Walaubagaimana pun, Rakyat Israel juga harus sedar & faham bahawa setiap tindakan ada akibatnya & negara mereka tidak boleh dibiarkan melakukan kekejaman sewenang-wenangnya.

 

BDS merupakan bantahan secara aman bagi menekan pihak Israel. Ia bertujuan menunjukkan kepada mereka bahawa kekejaman & penindasan mereka terhadap penduduk Palestin ada akibatnya.

 

Tujuan utama menggunakan taktik membantah secara aman melalui boikot adalah untuk memaksa satu pihak yang berterusan enggan berunding dengan niat yang baik untuk mengubah cara mereka. Jika seseorang itu menentang keganasan & juga menentang usaha BDS pada masa yang sama, apa lagi yg boleh dilakukan untuk membantu Rakyat Palestin?

 

Bukankah memboikot athlet Israel untuk tindakan rejim Zionis sesuatu tindakan yang tidak adil?

Ramai yang salah anggap, BDS tidak menyasarkan mana-mana Rakyat Israel secara khusus. Sasaran utama BDS adalah negara Israel, institusi-institusi dibawah naungannya serta wakil-wakilnya dari segenap bidang – termasuklah sukan. Antara yang turut menjadi sasaran adalah syarikat-syarikat yang beroperasi di Israel, terutamanya yang bersekongkol dengan mereka untuk terus menindas masyarakat Palestin. Atlet Israel yang bukan mewakili negara mereka dalam acara sukan TIDAK akan menjadi sasaran boikot.

 

Saya sokong untuk menentang kekejaman Israel, tapi politik & sukan sewajarnya dipisahkan.

Ianya mustahil untuk menikmati sukan dalam keadaan di mana sesuatu masyarakat itu berada dibawah pendudukan haram.

 

Sebagai contoh, pemain bolasepak kebangsaan Palestin, Mahmoud Sarsak, telah ditahan selama 3 tahun oleh Israel tanpa sebarang dakwaan. Nasib yang lebih teruk menimpa penyerang bolasepak kebangsaan Palestin, Zakaria Issa, pada 2003 apabila beliau pula dipenjarakan selama 16 tahun. Muhammad Nimr, penyerang pasukan bolasepak muda kebangsaan, juga ditahan tanpa dakwaan dari tahun 2007 hingga 2009. (Sumber: https://electronicintifada.net/blogs/adri-nieuwhof/how-israel-derails-promising-careers-palestinian-football-stars).

 

Tambahan lagi, dengan penggunaan sistem pusat pemeriksaan, kad pengenalan khas, serta permit, pergerakan atlet khasnya serta seluruh penduduk Palestin amnya amatlah terhad. Perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain mengambil masa yang panjang akibat pemeriksaan rambang yang dikenakan sewenang-wenangnya oleh tentera Israel. Tidak hairanlah jika atlet Palestin mendapati ianya sukar walau pun hanya untuk menghadiri sesi latihan. Kajian juga mendapati Rakyat Palestin, secara terkumpul, terbazir lebih 3 juta jam waktu bekerja setiap hari hanya untuk perjalanan.

 
 

Saya mengecam tindakan Israel, tetapi wajarkah kebebasan bersuara ahli akademik serta bidang akademik amnya dipolitikkan?

Sudah terdapat banyak contoh kesan penjajahan & penindasan Israel ke atas Palestin terutama dalam bidang akademik. Tanya diri anda, tidakkah seadilnya ahli-ahli akademik Palestin mempunyai hak yang sama dengan rakan-rakan sekerja mereka di Israel? Paling hina diantara semua usaha Israel untuk menghalang kebebasan akademik adalah kawalan ketat keatas kemasukan jenis buku yang boleh dibaca/ diakses. Malah, sejarah membuktikan Israel tidak ada masalah langsung untuk mengebom sekolah, universiti serta lain-lain institusi pembelajaran dengan sewenang-wenangnya.

 

Seperti yang diketahui, pergerakan Rakyat Palestin amnya dan ahli akademik khususnya, amatlah terhad. Ini menjadikan kerja-kerja lapangan bagi tujuan kajian contohnya, amat sukar malah hampir mustahil untuk dilakukan.

 

Sekatan pergerakan serta kepungan askar Israel keatas bumi dan rakyat Palestin amatlah kejam dan menyukarkan pelajar dari Gaza contohnya, untuk ke Tebing Barat untuk belajar. Akibatnya, tidak banyak kepelbagaian dalam demografi pelajar serta persatuan pelajar di universiti-universiti di Palestin sedangkan kedua-duanya adalah ciri utama mana-mana universiti pun. Hari ini, sudah tiada lansung pelajar dari Gaza yang menuntut di Universiti Berzeit, Tebing Barat, sedangkan 20% dari penuntutnya dahulu terdiri dari kalangan pelajar dari Gaza. Mereka juga telah dihalang dari meneruskan pengajian mereka di Universiti Bethlehem.

 

Sekatan pergerakan yang melampau ini juga menyebabkan pelajar serta ahli akademik di Palestin sukar untuk menuntut ilmu di luar negara. Seolah-olah ingin mematikan saki-baki peluang & harapan yang ada, Israel menyekat pula kemasukan ahli akademik dari luar ke Palestin. Kesimpulannya, Israel menyekat serta menghalang ahli akademik serta pelajar di Palestin daripada berinteraksi diantara mereka apatah lagi dengan kalangan bijak pandai dari luar. Interaksi inilah yang menjadi tunjang bagi memantapkan bidang akademik tetapi malangnya, Israel merasakan Rakyat Palestin tidak berhak menikmatinya.

 

Tidak keterlaluan untuk mengatakan ianya hampir mustahil untuk melakukan kajian saintifik di Palestin akibat sekatan tidak munasabah yang dikenakan Israel keatas barang-barang, peralatan kajian serta alat ganti yang sememangnya amat diperlukan.

 

Selain itu, tiada satu universiti Israel pun yang membantah pemusnahan sistem pendidikan Palestin oleh pemerintah Israel; malahan, semua universiti Israel menyokong pengeboman Gaza pada 2014 oleh tentera Israel. (Sumber: https://electronicintifada.net/blogs/ali-abunimah/warrior-students-how-israeli-universities-are-supporting-war-crimes-gaza)

 

Baik, tapi tidak mungkin seni & kebudayaan juga harus dipolitikkan bukan?

Dalam ketamadunan manusia, seni & kebudayaan merupakan aspek penting dalam politik, begitu juga sebaliknya. Hakikat ini, ironinya, pernah disokong sendiri oleh kerajaan Israel melalui kenyataan Menteri Luarnya pada 2005 yang menyebut, “kami melihat budaya sebagai salah satu alat propaganda utama,….budaya & propaganda berpisah tiada”.

 

Majlis-majlis kebudayaan, wayang, teater, dan pusat-pusat kebudayaan sering kali digeledah & ditutup secara paksa tanpa apa-apa alasan munasabah oleh rejim Israel. Tindakan tersebut tidak lain, bagi menghalang Rakyat Palestin dari menyuarakan & mengekspresikan kebudayaan mereka. Sebagai contoh, Teater Kebangsaan Palestin, El-Hakawati, satu-satunya teater Palestin di Baitul Maqdis (Jurusalem)/ Al-Quds sudah sekian lama menjadi sasaran rejim Israel dalam usahanya untuk memusnahkan kebudayaan & warisan masyarakat Palestin. (Sumber: http://www.al-monitor.com/pulse/originals/2015/12/palestinian-national-theatre-el-hakawati-east-jerusalem.html).

 

Isu Palestin vs Israel adalah rumit, bukankah kedua-duanya bersalah dalam melakukan kekejaman?

Bahagian ‘Soalan Lazim’ ini bukan tempat yang sesuai untuk memperdebatkan isu ini. Ia akan mengambil masa yang panjang & memerlukan platfom yang berbeza. Sebaliknya, disini kita lebih fokus kepada isu-isu semasa & keperluan mengadakan BDS. Walaubagaimana pun, jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkara tersebut, anda boleh layari http://www.ifamericansknew.org/history/ .

 

Ahli Sosiologi Israel, Baruch Kimmerling, pernah membahasakan kekejaman Israel terhadap Palestin sebagai ‘politicide’ (pembunuhan politik). Maksudnya, satu proses yang bermatlamat untuk melenyapkan kewujudan Rakyat palestin sebagai satu entiti sosial, politik & ekonomi yang sah”.

 

Serangan bertali-arus dan kepungan berterusan Israel ke atas Gaza sehingga ke tahap berani mensasarkan hospital & ambulan serta membunuh para professor (e.g. Dr Bashir Al-Hajjar, Penolong Professor Kejururawatan yang dibunuh rejim Israel sewaktu beliau sedang memandu menggunakan kenderaan milik UNRWA) hanyalah beberapa contoh kekejaman secara terang-terangan yang dilakukan oleh Israel.

 

Lebih kurang diketahui, tetapi juga teruk, adalah kewujudan pusat-pusat pemeriksaan yang menyekat perjalanan penduduk, ketidakadilan pemilikan serta pengambilan tanah & sumber air secara paksa & tidak sah disisi undang-undang, perobohan rumah-rumah Rakyat Palestin, pembinaan penempatan haram Rakyat Israel serta jalanraya khas untuk penduduknya, pemusnahan ladang-ladang zaitun warisan yang beribu tahun sejarahnya, seksaan & gangguan berterusan, pemenjaraan kanak-kanak, serta penahanan tanpa perbicaraan: termasuk dari kalangan ahli Majlis Perundangan Palestin.

 

Wajarkah Rakyat Malaysia melawat Israel?

BDS tidak menggalakan sebarang kunjungan ke Israel. Rejim Israel mendapat manfaat pengiktirafan melalui kesahihan kunjungan tersebut & menggunakannya sebagai alasan bagi melemahkan usaha boikot ke atas mereka. Para pengunjung akan diperagakan kepada dunia seolah-olah tiada apa berlaku & kewujudan mereka di Palestin adalah terjustifikasi & sah. Kunjungan ini juga akan digunakan sebagai alasan membiasakan orang ramai dengan penjajahan & pendudukan haram mereka di bumi Palestin.   

 

Tidak kira apa pun tujuan murni atau banyak mana pun manfaat yang ia boleh berikan kepada penduduk Palestin, kemudaratan hasil dari kunjungan itu akan membayangi kesemua kebaikan yang bakal diperoleh.

 

Apakah kriteria untuk membuat keputusan mengenai sasaran boikot, syarikat untuk diboikot?

 

Apabila boikot digunakan sebagai taktik, dan tidak sebagai satu prinsip, kriteria utama adalah tahap penglibatan sebuah syarikat dengan rejim Zionis Israel, sama ada perbadanan itu berkerjasama langsung, dengan rejim Zionis Israel untuk menindas rakyat Palestin. Kriteria lain ialah potensi gerakan boikot untuk berjaya, dan bersamaman itu, potensi untuk membentuk gerakan yang luas, yang akan disokong keseluruhan masyarakat Malaysia. Patut diingat bahawa boikot ini digunakan sebagai taktik untuk memaksa rejim Israel untuk mematuhi kehendak BDS: menamatkan penaklukan, kesaksamaan, hak untuk kembali.

 

Banyak dakwaan telah dilemparkan dalam bahagian ‘Soalan Lazim’ ini, bolehkah BDS membuktikan kesemuanya?

Tujuan bahagian ‘Soalan Lazim’ ini bukan untuk dijadikan kertas kajian akademik. Walaubagaimana pun, jika ada permintaan untuk rujukan, pihak kami berbesar hati menyediakannya.

 

 

Sumber rujukan utama yang digunakan dalam menyediakan ‘Soalan Lazim’ ini adalah dari maklumat yang dikumpul & direkodkan oleh para aktivis serta organisasi-organisasi hak asasi manusia di Palestin & Israel. Maklumat dari laporan Pasukan Bertindak Israel-Palestin 2015, Persatuan Antropologi Amerika Syarikat (American Anthropological Association Task Force Israel-Palestine, 2015) turut dijadikan sumber rujukan.