PENGANGKUTAN BAHAN LETUPAN YANG AKAN MEMBOLEHKAN PIHAK ISRAEL MENERUSKAN GENOSID: PENGLIBATAN UNITED O7 ASIA SDN BHD

KENYATAAN MEDIA

PENGANGKUTAN BAHAN LETUPAN YANG AKAN MEMBOLEHKAN PIHAK ISRAEL MENERUSKAN GENOSID: PENGLIBATAN UNITED O7 ASIA SDN BHD

Sebuah kapal kargo bernama MV Kathrin kini dalam perjalanan ke Bar, Montenegro dan dianggarkan tiba di sana pada 27 September.

Destinasi kapal kargo yang membawa 8 kontena bahan letupan tentera  ini ialah Israel. Ini adalah melanggar Konvensyen Genosid  dan seruan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk sekatan ketenteraan ke atas Israel. Atas sebab tersebut, ia telah disekat oleh pihak berkuasa di Namibia daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan mereka dalam pelayarannya ke Bar.

BDS Malaysia dengan ini menarik perhatian umum kepada syarikat di sebalik penubuhan keseluruhan operasi penghantaran bahan tentera tersebut ke Israel. Ibu pejabat syarikat ini di Asia adalah di Kuala Lumpur,  bernama  United O7 Asia Sdn Bhd . Kami mempunyai maklumat bahawa MV Kathrin adalah antara kapal yang dikendalikan oleh syarikat ini.

Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Januari 2024, dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan, telah menetapkan bahawa Israel secara munasabah melakukan jenayah  Genosid. ICJ dalam keputusan yang sama seterusnya mengarahkan langkah-langkah sementara terhadap Israel untuk mencegah genosid di Gaza yang bermaksud bahawa sesebuah negara boleh dipertanggungjawabkan secara sah apabila ia gagal menggunakan usaha wajar dan melaksanakan semua cara yang sah di bawah kuasanya untuk mencegah dan menghentikan genosid. Tambahan pula, pakar undang-undang menyatakan bahawa perbadanan atau ahli perniagaan individu yang secara sedar atau sengaja  membantu negara melanggar prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk larangan melakukan pembunuhan genosid, mungkin dianggap bersubahat dalam pelanggaran sedemikian.

Selain itu, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada April 2024, menyeru semua negara “untuk menghentikan penjualan, pemindahan dan pengalihan senjata, peluru dan peralatan ketenteraan lain kepada Israel, yang berkuasa  sebagai Penjajah.”

Oleh itu, penyertaan dalam pemindahan senjata ke Israel adalah sama dengan keterlibatan dalam genosid, jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.

Kami sangat bimbang bahawa syarikat yang projeknya melanggar undang-undang antarabangsa dibenarkan beroperasi di negara kita. Ia mengimplikasikan bahawa Malaysia juga bersubahat jika keadaan ini dibiarkan berterusan. Oleh itu kami menyeru;

•​United O7 Asia Sdn Bhd untuk segera menghentikan operasi kapal tersebut atau memunggah kargo haramnya.

•​Kerajaan Malaysia melarang syarikat itu beroperasi di Malaysia jika ia enggan melakukan mana-mana perkara di atas.

Dengan mengambil kira rangka kerja undang-undang di atas, BDS Malaysia akan membuat laporan polis pada tarikh dan masa berikut:

Jumaat, 13hb September 2024, 10.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Jalan Sultan Azlan Shah.

Ini akan diikuti dengan taklimat media oleh wakil BDS di mana semua ahli media dijemput.

Boikot, Lupus, Sekatan (BDS Malaysia)