Pendirian BDS Malaysia Berkenaan Lawatan atau Ziarah ke Baitul Maqdis

Pendirian BDS Malaysia Berkenaan Lawatan atau Ziarah ke Baitul Maqdis

 

BDS Malaysia mengambil perhatian bahawa sekarang ini ramai rakyat Malaysia gemar melakukan lawatan ke Baitul Maqdis termasuk ke Masjid Al Aqsa. BDS  ingin menyatakan pendirian bahawa kami TIDAK BERSETUJU dengan lawatan tersebut. 

 

Ini kerana BDS Malaysia merasakan bahawa lawatan atau ziarah tersebut tidak membantu dalam usaha memboikot negara Israel. Walaupun ada golongan Palestin yang akan mendapat manfaat daripada lawatan tersebut (seperti pemilik kedai dan pembantu pelancong), namun secara umum dan jangka panjang, ia akan lebih menguntungkan rejim Zionis Israel yang mahu mewujudkan normalisasi hubungan di antara Israel dan negara lain. 

 

Semua pelawat ke Baitul Maqdis mesti mengisi borang imigresen Israel dan Israel akan menggunakan tren kemasukan pelawat ke kawasan di bawah kawalannya sebagai bukti bahawa negara Israel (yang bagi mereka adalah termasuk Tebing Barat) adalah aman dan terkawal.

Israel akan dengan bangga mengumumkan kepada dunia bahawa pelancongan ke Israel telah meningkat dan akan menggalakkan lebih ramai orang asing menziarahi Baitul Maqdis untuk menaikkan imej Israel.

 

Oleh itu, BDS Malaysia bersetuju dengan pendirian gerakan BDS antarabangsa yang menyatakan bahawa hanya rakyat Palestin yang wajar menziarahi Baitul Maqdis (termasuk Masjid Al Aqsa). Semua warga negara lain adalah tidak wajar menziarahi Baitul Maqdis dan mana-mana kawasan di bawah kawalan rejim Zionis Israel. Pengecualian hanya diberikan kepada individu atau kumpulan yang boleh membuktikan bahawa lawatan mereka akan memberikan keuntungan secara langsung kepada gerakan anti Israel (contoh adalah seperti wartawan yang masuk untuk melaporkan kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin).  

 

BDS Malaysia mengambil maklum bahawa pendirian ini adalah selaras dengan fatwa ulamak Islam yang terkenal di dunia termasuk Sheikh Yusuf Qaradawi yang berpendapat bahawa selagi Baitul Maqdis dan Masjid al Aqsa adalah di bawah kawalan rejim Zionis Israel, menziarahinya adalah dilarang kerana hanya akan memberikan keuntungan dari berbagai segi kepada Israel.