Mengapa BDS Malaysia Masih Kekalkan McDonald’s Dalam Senarai Boikot?

Mengenai pertanyaan terkini mengapa McDonald’s masih menjadi sasaran usaha boikot, perlu ditekankan bahawa BDS Malaysia berkerjasama rapat dengan BNC (BDS National Committee, iaitu jawatankuasa gerakan BDS global yang dilantik oleh NGO-NGO di Palestin dan yg bertanggung jawab mengkordinasikan strategi boikot global). BNC membuat keputusan untuk terus menyenaraikan McDonald’s di bawah sasaran organik. BDS Malaysia membuat keputusan untuk bersetuju dengan BNC atas sebab-sebab berikut:

1. McDonald’s masih beroperasi di Israel dan, oleh itu, terus menyokong ekonomi Israel. Israel masih melakukan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat serta menyatakan kemungkinan untuk menyerang Gaza sekali lagi.

2. McDonald’s tidak pernah memohon maaf atas tindakannya memberi makanan percuma atau bersubsidi kepada tentera Israel dan, oleh itu, tidak pernah meminta maaf kerana menyokong pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel di Gaza. Perlu diingat bahawa McDonald’s Corporation bertanggungjawab ke atas tindakan semua francaisinya, termasuk pemegang francais terdahulu di Israel.

3. Antara tuntutan oleh BNC sebagai syarat mengeluarkan McDonald’s dari senarai boikot ialah McDonald’s mesti berhentikan operasinya di Israel, memohon maaf kerana menyokong genosid di Gaza, menarik balik saman terhadap BDS Malaysia dan memohon maaf kerana tindakan saman tersebut. McDonald’s gagal memenuhi semua tuntutan tersebut.

4. McDonald’s di Malaysia menolak permintaan BDS Malaysia untuk mengutuk Israel kerana melakukan genosid di Gaza.

Untuk makluman, poster senarai boikot BDS adalah dikeluarkan oleh BDS National Committee dan adalah sama di seluruh dunia.

BDS Malaysia 30 Januari 2025