BDS Malaysia mengambil perhatian bahawa pada 24 Julai 2021, seorang atlet dalam acara judo bernama Fethi Nourine dari Algeria telah digantung dari Sukan Olimpik di Tokyo dan dihantar pulang ke negaranya berikutan keengganan beliau untuk beraksi dalam satu perlawanan menentang seorang atlet dari Israel.
Fethi Nourine menyatakan bahawa tindakannya adalah untuk menyokong perjuangan pembebasan Palestin.
BDS Malaysia ingin menyuarakan sanjungan kami kepada pendirian dan tindakan Fethi Nourine kerana langkah memboikot negara aparteid Israel adalah sesuatu yang sangat wajar dilakukan kerana pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel terhadap rakyat Palestin yang telah berlangsung selama lebih dari tujuh dekad.
BDS Malaysia ingin menekankan bahawa semua negara harus memboikot negara aparteid Israel. Malah sepatutnya Israel tidak dibenarkan menyertai sukan Olimpik, seperti mana Afrika Selatan semasa era aparteid yang telah dilarang menyertai Olimpik dan sebarang acara sukan antarabangsa sehingga dasar aparteid negara tersebut dihapuskan.
Menentang kezaliman aparteid adalah satu perjuangan yang jauh lebih tinggi dan mulia berbanding sekadar mengambil bahagian dalam acara sukan walaupun di peringkat Olimpik.
Fethi Nourine, kami menyanjung anda kerana prinsip berani dan bermoral yang telah anda tunjukkan dan kami berharap tindakan anda akan memberi inspirasi dan contoh kepada atlet yang lain.
BDS Malaysia
27 Julai 2021