Pusat KOMAS mengalu-alukan genjatan senjata yang diumumkan oleh pihak Israel dan Hamas setelah
tindakan ketenteraan oleh rejim “aparteid” Israel yang zalim, tidak berperikemanusiaan dan tidak
seimbang terhadap rakyat Palestin di Gaza serta Tebing Barat baru-baru ini yang telah berlarutan selama
lebih satu minggu.
Kejadian berbalas serangan antara pihak Israeli Occupation Forces (IOF) dan Hamas yang tercetus sebelum
sambutan Aidilfitri lalu bukanlah satu perkara yang baharu malah ianya merupakan rentetan dari konflik
kemanusiaan dan jenayah peperangan yang berlaku di Gaza sejak pengusiran beramai-ramai rakyat
Palestin pada tahun 1948.
Bukanlah menjadi suatu rahsia lagi bahawa Israel mempunyai rekod yang memalukan dalam pematuhan
terhadap piawaian hak asasi antarabangsa dan pencabulan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) melalui pentadbiran, dasar awam serta tindakan-tindakan yang melanggar hak asasi
manusia rakyat Palestin.
Kita bersolidariti dengan rakyat Palestin yang kental dalam memastikan hak-hak asasi mereka terpelihara
dan ditegakkan. Di peringkat tempatan, mereka telah mengambil pendekatan yang aman melalui protes
jalanan serta perhimpunan awam walaupun seringkali menerima tindakbalas yang keras oleh Israeli
Occupation Forces (IOF). Di peringkat antarabangsa pula, mereka telah menggunakan kaedah dan
mekanisme perundangan yang melibatkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal
Court/ICC) dimana siasatan terhadap jenayah perang dan kemanusiaan oleh Israel sejak 2014 telah mula
disiasat. Palestin juga telah mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum
PBB (ICERD Committee) pada tahun 2018 untuk meneliti, menilai serta memberikan syor kepada Israel
untuk memenuhi komitmennya terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala
Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Semakan oleh Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum (CERD Committee) pada tahun 2019 telah
mendapati terdapat amalan diskriminasi perkauman dan perlanggaran terhadap hak-hak asasi manusia
rakyat Palestin yang dilakukan oleh Israel. Jawatankuasa tersebut telah mengusulkan beberapa syor
kepada Israel bagi menambahbaik komitmennya terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai
Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Antara syor yang dimaksudkan termasuklah
pemberian layanan yang samarata terhadap semua individu di dengan menjamin akses yang samarata
untuk kewarganegaraan, perlindungan undang-undang, manfaat ekonomi dan sosial, hak terhadap
pemilikan hartanah; dan Israel juga disarankan untuk mengubahsuai atau menghapuskan sebarang
perundangan yang tidak menepati prinsip-prinsip anti-diskriminasi.
Namun begitu, saranan Jawatankuasa tersebut tidak dihiraukan oleh Israel. Keangkuhan Israel untuk
mematuhi piawaian antarabangsa dalam menegakkan hak-hak asasi manusia sejagat semakin jelas
apabila Israel secara terang-terangan menolak dari terlibat dengan proses siasatan yang dilaksanakan oleh
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court/ICC) susulan aduan oleh Palestin pada
tahun 2015.
Oleh yang demikian, badan-badan antarabangsa terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan tegas dalam menggerakkan usaha untuk menamatkan
krisis Palestin-Israel yang telah berlarutan ini dengan menyediakan penyelesaian yang adil dan saksama
kepada semua pihak yang terlibat. Segala langkah yang boleh mempercepat dan memudahcara proses
untuk mengembalikan semula hak-hak asasi dan maruah rakyat Palestin perlu diambil oleh PBB; bukan
sekadar mengeluarkan kenyataan-kenyataan media sahaja.
Tindakan berterusan bersifat diskriminasi perkauman yang dilaksanakan oleh Israel ini harus ditolak
sepenuhnya oleh masyarakat global kerana tindakan yang zalim ini juga secara terang-terangan
bertentangan dengan Deklarasi Dan Program Tindakan Durban 1 yang diiktiraf sewaktu Persidangan Dunia
Menentang Rasisme tahun 2001 sebagai konsensus antarabangsa dalam menghapuskan diskriminasi
perkauman. Pusat KOMAS yang giat terlibat sewaktu persidangan telah memberikan sokongan kuat
supaya isu Palestin ini diangkat sebagai salah satu daripada tiga isu paling besar dunia sewaktu
persidangan tersebut. Diskriminasi perkauman yang tidak dibendung akan menyumbang kepada
kelahiran sikap ekstrimisme. Dalam jangka masa yang panjang, ia akan mengakibatkan kezaliman dan
menggalakkan perlanggaran hak asasi manusia.
Kami mengalu-alukan genjatan senjata yang telah diumumkan dan menggesa Israel untuk berhenti
daripada menggunakan sebarang tindakan ketenteraan terhadap masyarakat awam yang akan
mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan bangunan-bangunan penting serta kelumpuhan
perkhidmatan awam. Kami turut menggesa Hamas walaupun ianya dilakukan untuk melindungi diri,
untuk tidak menggunakan kekerasan yang disasarkan kepada masyarakat awam Israel. Walaupun
keganasan telah dihentikan seketika, para pemimpin dunia tidak boleh leka dan perlu terus menggunakan
waktu yang ada untuk mewujudkan keamanan yang berpanjangan untuk rakyat Palestin.
Kita bersolidariti dengan saudara-saudari kita di Palestin dengan mengatakan tidak kepada kezaliman
berterusan yang dialami mereka. Mereka juga memiliki hak asasi manusia dan maruah diri untuk hidup di
negara mereka secara aman, damai dan harmoni.
Dikeluarkan oleh,
Pusat KOMAS
21 Mei 2021