Kenyataan Media dari BDS Malaysia berkenaan Komen Canselor Kurz dari Austria
24 Januari 2019
Baru-baru ini Canselor Kurz dari Austria telah menyuarakan kebimbangan beliau berkenaan sikap anti-semitik (atau sikap kebencian kepada orang Yahudi) Malaysia semasa pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di Vienna. Ini susulan keputusan Malaysia menyekat penyertaan atlet Israel di Pertandingan Renang Para di Kuching pada bukan Julai 2019.
Memandangkan bahawa sejarah Eropah adalah penuh dengan episod keganasan yang mengerikan terhadap bangsa Yahudi yang mencapai kemuncaknya semasa Perang Dunia Kedua, kita boleh memahami kebimbangan beliau tentang kemungkinan sikap antisemitik ini muncul lagi di tempat-tempat lain.
Namun hakikatnya ialah sikap anti-semitik adalah sebenarnya masalah yang khusus kepada komuniti Kristian di Eropah dan masyarakat barat lain semata-mata dan tidak di Asia. Pergerakan anti-Israel di Malaysia, yang mana Boycott, Divestment and Sanctions – Malaysia (BDS Malaysia) adalah sebahagian darinya, adalah langsung tidak bersikap antisemitik atau benci kepada bangsa Yahudi.
Bahkan sebenarnya kita juga membenci semua bentuk sikap antisemitik dan tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana pihak yang mempunyai sikap perkauman ini. Kita tidak membenci kaum etnik Yahudi atau mana-mana kaum etnik. Kita sangat sedar bahawa keturunan etnik atau bangsa seseorang individu adalah bukan pilihan individu tersebut dan oleh itu adalah sangat tidak wajar membenci seseorang individu semata-mata kerana beliau adalah berketurunan sesuatu kaum atau bangsa.
Namun kita sangat membenci puak yang berfahaman Zionis sama ada mereka berketurunan Yahudi atau bukan Yahudi. Ini kerana puak Zionis lah yang telah secara haram mewujudkan negara Zionis Israel dengan membunuh ribuan rakyat Palestin, menghalau 750 ribu yang lain dan merampas tanah dan harta mereka. Puak Zionis adalah penyebab utama kepada penderitaan rakyat Palestin yang telah berlaku semenjak tujuh dekad yang lalu dan masih berterusan.
Adalah salah untuk menyatakan bahawa sekatan Malaysia terhadap athlet Israel adalah akibat dari sikap antisemitik atau kebencian kita terhadap bangsa Yahudi. Kita menyekat wakil Israel kerana Israel adalah sebuah negara apartheid yang zalim. Di samping itu kita juga tidak mahu dieksploitasikan oleh mesin propaganda Zionis Israel yang akan mengatakan Malaysia adalah sebuah negara majoriti Muslim yang boleh menerima penindasan zalim Israel terhadap rakyat Palestin. Sebaliknya kita akan terus memboikot Israel dalam semua bidang selagi Israel menzalimi rakyat Palestin. Kita juga akan terus menyokong rakyat Palestin yang menjadi mangsa kepada kezaliman ini.
Perlu dinyatakan sekali lagi bahawa Malaysia adalah bukan anti-Yahudi. Buktinya ialah ramai pengkritik lantang terhadap Israel yang berketurunan Yahudi seperti Miko Peled, Dr Peter Slezak, Anna Baltzer dan pemimpin Flotilla Freedom Gaza bernama Zohar Regev telah dibenarkan melawat Malaysia dan disambut dengan baik oleh kerajaan dan rakyat Malaysia. Sebenarnya kita tidak kisah bangsa etnik mereka tetapi kita sebaliknya menerima baik kedatangan mereka kerana mereka adalah pejuang keadilan yang akan membantu menerangkan hakikat sebenar kezaliman Israel kepada rakyat Malaysia. Tambahan pula Miko Peled adalah tetamu Dr Mahathir sendiri. Ini membuktikan bahawa Dr Mahathir bukan seorang yang antisemitik atau anti Yahudi.
Di samping itu, Canselor Kurz juga harus mengambil kira perkara-perkara berikut.
1. Beliau telah mengisytiharkan Austria sebagai sahabat dan rakan kongsi Israel. Persoalannya ialah apakah ini bermakna Austria memberi sokongan penuh kepada dasar apartheid dan tindakan-tindakan kejam pemerintah Israel terhadap rakyat Palestin? Sekiranya tidak, Austria perlu mengisytiharkan penentangan terhadap dasar-dasar Israel tersebut secara terbuka. Apakah ertinya menjadi rakan kepada Israel jika enggan memberikan teguran apabila Israel telah jelas melakukan kesalahan? Jika Austria enggan berterus terang kepada Israel, ini bermakna Austria juga tidak layak untuk mengajar orang lain mengenai sifat antisemitisk.
2. Sudah menjadi tabiat biasa bagi kerajaan Israel untuk menuduh mana-mana pihak yang mengkritiknya sebagai kumpulan antisemitik. Walaupun memang benar seseorang yang antisemitik adalah seseorang yang tidak menyukai orang Yahudi, namun sekarang apa yang jelas Israel telah menggunakan istilah itu untuk melabel mana-mana individu yang tidak disukai oleh Israel. Canselor Kurz perlu sedar bahawa penentangannya terhadap antisemitik dengan cara yang difahami oleh Israel telah berjaya memenuhi perancangan jahat Israel untuk menghalang sebarang perbincangan bebas dan kritikan yang sah terhadap tindakan zalim Israel terhadap rakyat Palestin.
3. Kerajaan Israel mendakwa ia bercakap dan bertindak atas nama semua orang Yahudi di dunia, walaupun sekarang telah terbukti dengan jelas bahawa ini adalah tidak benar. Tindakannya dengan sengaja menyamakan istilah ‘Yahudi’ dengan istilah ‘Israel’ telah menimbulkan banyak kekeliruan, terutama sekali kerana Israel telah terlibat dengan tindakan yang jelas melanggar hak asasi rakyat Palestin. Kebencian terhadap kezaliman Israel telah mengakibatkan ramai pihak yang keliru dan membenci semua orang Yahudi dan oleh itu menjadi antisemitik. Sebenarnya Israel amat suka dengan peningkatan sikap antisemitik kerana ini akan menjayakan objektif utama fahaman Zionis iaitu peningkatan penghijrahan orang-orang Yahudi ke Israel. Canselor Kurz perlu berkongsi kekhuatirannya terhadap isu ini dengan kerajaan Israel atau memboikotnya secara total.