BDS Malaysia dan McD akan mengadakan sesi mediasi pada 9:30 pagi pada 18 Mac di Mahkamah Shah Alam.
BDS Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada peguam kami, Datuk M Reza Hassan dari Tetuan Raja Riza dan Rakan-rakan Bersekutu, yang telah sudi memberi khidmat guaman kepada kami dalam kes ini secara `pro bono’ (atau percuma) atas semangat persaudaraan dengan rakyat Palestin yang sedang ditindas oleh rejim Zionis Israel.
BDS Malaysia juga berterima kasih kepada McD kerana saman mereka terhadap kami telah membantu menjadikan BDS Malaysia terkenal bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia, sekali gus membantu menghebahkan kempen kami untuk memboikot Israel dan syarikat yang dikaitkan dengan Israel.
Kempen boikot terhadap Israel dan pertubuhan yang bersekongkol dengannya adalah kritikal kerana ini adalah cara yang berkesan untuk menghentikan kezaliman Israel yang telah mencapai tahap melampau. Sejak 7 Oktober, lebih 31,000 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah dibunuh oleh tentera Israel.
BDS Malaysia sedar bahawa rakyat Malaysia dan di seluruh dunia mengambil tindakan untuk memboikot McD kerana McD di Israel telah memberi makanan percuma kepada askar Israel. Susulan itu, gerakan BDS antarabangsa dan BDS Malaysia memutuskan untuk menyokong tindakan rakyat yang mengecam tindakan McD Israel.
Tuntutan McD terhadap BDS Malaysia telah menyebabkan rakyat Malaysia dan pengguna di seluruh dunia semakin marah terhadap McD. Setiap kali berita saman McD terhadap BDS Malaysia keluar, pengguna akan berasa lebih kecewa terhadap McD. Lebih-lebih lagi, tindakan McD yang menyaman BDS Malaysia telah menyebabkan pergerakan BDS Antarabangsa memulakan satu kempen global khas untuk memboikot McD.
BDS Malaysia menyeru semua penyokong perjuangan Palestin hadir ke kompleks mahkamah di Shah Alam pada jam 9.15 pagi pada 18 Mac bagi menunjukkan sokongan terhadap kempen BDS Malaysia memboikot Israel dan pertubuhan yang menyokong kekejaman Israel, sama ada secara langsung atau tidak langsung.