BDS Malaysia dimaklumkan bahawa sekarang ini terdapat tujuh kelab bolasepak tidak sah yang sedang mengambil bahagian di dalam Liga Bolasepak Israel. BDS Malaysia berasa dukacita dengan keadaan ini kerana status kelab tersebut adalah sebenarnya tidak sah dari segi undang-undang FIFA sendiri kerana mereka adalah dari penempatan haram, iaitu kawasan yang dirampas daripada rakyat Palestin dan diduduki secara haram iaitu di Tebing Barat.
Malangnya FIFA masih belum membuat sebarang keputusan berkenaan perkara ini walaupun maklumat telah pun diberikan oleh pakar-pakar hak asasi manusia bahawa ia adalah bertentangan dengan statut FIFA sendiri. Persatuan Bolasepak Israel sepatutnya membatalkan penggabungan tujuh kelab tersebut jika ia ingin kekal menjadi ahli FIFA.
Pada bulan Oktober 2016, Wilfried Lemke yang merupakan Penasihat Khas PBB berkenaan Pembangunan Sukan dan Keamanan, telah menulis kepada pihak FIFA agar perkara ini diselesaikan dengan berpandukan kepada resolusi majlis keselamatan PBB dan statut FIFA dalam tempoh masa yang munasabah.
Majlis Keselamatan PBB dalam resolusi 2334 dengan jelas menyatakan bahawa penempatan haram di kawasan Palestin yang diduduki oleh Israel di Tebing Barat tidak mempunyai apa-apa asas dari segi undang-undang bahkan merupakan satu pencabulan undang-undang antarabangsa. Oleh itu FIFA bertanggungjawab mengasingkan diri dari pencabulan tersebut.
FIFA telah membangunkan polisi hak asasi manusia sebagai sebahagian dari program reformasi dalamannya. Statut No. 3 FIFA sendiri menyatakan bahawa “FIFA memberi komitmen untuk menghormati kesemua hak asasi manusia yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dan akan berusaha untuk memastikan hak-hak ini dilindungi. Matlamat FIFA ini harus disanjung namun usaha reformasi FIFA tersebut akan dinilai berdasarkan sejauh mana ia melaksanakan polisinya walaupun akan ada pihak-pihak yang sangat berpengaruh yang akan cuba untuk membenamkan laungan-laungan sah yang mengajak kepada keadilan.
Jika polisi FIFA ini gagal dilaksanakan, maka ia adalah satu tragedi sedih untuk masyarakat antarabangsa serta akan menimbulkan persoalan sama ada usaha FIFA untuk melakukan reformasi dalaman adalah serius atau pun sebaliknya.
Lagi pun umum telah maklum bahawa FIFA telah lama melaksanakan ketetapan di bawah statutnya bahawa “Ahli-ahli dan kelab mereka tidak dibenarkan bermain di wilayah ahli yang lain tanpa kelulusan ahli lain tersebut “. Adalah diharapkan FIFA tidak akan gagal untuk menguatkuasakan ketetapan itu sekarang, dalam konteks pencabulan hak asasi manusia yang lebih serius, yang akan merosakkan imej dan reputasi FIFA.
FIFA perlu menggunakan peraturan ini dengan konsisten dan teliti, dan kita mengingatkan pihak FIFA akan kewajipannya untuk bersikap adil dan saksama seperti termaktub dalam Kod Etikanya sendiri.
Atas sebab-sebab di atas kita berharap FIFA akan mengarahkan Persatuan Bolasepak Israel untuk menolak penggabungan tujuh kelab tidak sah dari penempatan haram berkenaan. Jika ia enggan melakukan tindakan tersebut FIFA hendaklah membatalkan keahlian Persatuan Bolasepak Israel. Ini adalah satu-satunya tindakan yang selaras dengan tanggungjawab undang-undang dan etika FIFA.
Laporan media menyatakan bahawa salah seorang dari ahli Majlis FIFA akan membentangkan cadangan beliau mengenai perkara ini kepada Kongres FIFA pada mesyuarat nya pada 11 Mei 2017. BDS Malaysia dan gerakan BDS antarabangsa menyeru kerajaan dan rakyat Malaysia supaya sama-sama memberi tekanan kepada ahli-ahli Majlis FIFA untuk melaksanakan tugas mereka untuk menyekat segala bentuk pencabulan hak asasi manusia oleh rejim Israel secara umum dan Persatuan Bolasepak Israel secara khusus.
BDS Malaysia 2017