Emiriah Arab Bersatu (UAE) Adalah Pengkhianat Kepada Perjuangan Palestin

Hari ini Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan akan menerima kunjungan rasmi Yair Lapid menteri luar Israel yang juga akan merasmikan kedutaannya dibandaraya Dubai. Lawatan ini adalah yang pertama oleh seorang pemimpin Israel semenjak perjanjian damai `Abraham Accord’ antara negara tersebut dan beberapa negara Arab termasuk UAE, Bahrain dan Oman.

BDS Malaysia tanpa berbelah bagi mengecam tindakan UAE menjalinkan hubungan rapat dengan rejim Zionis itu. BDS Malaysia juga mengajak kerajaan dan rakyat Malaysia untuk bersama mengecam tindakan UAE ini kerana bukan sahaja tindakan tersebut tidak waras malahan adalah satu tindakan khianat yang sangat serius kepada warga Palestin, kepada umat Islam dan malahan kepada seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan prinsip kebebasan, kesaksamaan dan keadilan.

BDS Malaysia juga yakin bahawa bukan semua rakyat negara UAE bersetuju dengan tindakan pemimpin mereka. Namun ia telah dapat dilakukan kerana UAE adalah sebuah negara yang tidak beramal dengan prinsip demokrasi dan oleh itu pandangan rakyatnya langsung tidak diambil kira.

BDS Malaysia ingin memperingatkan kepada pemimpin UAE bahawa rejim Zionis Israel telah menzalimi warga Palestin semenjak dari penubuhannya dengan cara membunuh, merobohkan rumah-rumah mereka, menghancurkan kampung halaman mereka dan merampas tanah-tanah mereka. Kezaliman rejim Zionis berterusan sehingga hari ini seperti yang sedang kita saksikan sekarang ini berlaku di SheikhJarrah dan juga di Silwan di Baitulmaqdis Timur.

Dunia juga telah menyaksikan beberapa minggu lepas sikap kejam rejim Zionis Israel membunuh lebih dari 200 warga Palestin di Gaza termasuk 66 kanak-kanak. Perlu diingatkan bahawa dalam tempoh 12 tahun yang lepas sebelum ini, serangan rejim Zionis sebanyak tiga kali telah mengorbankan lebih dari 4,400 warga Palestin, termasuk 1,100 kanak-kanak. Puluhan ribu juga telah dicederakan.

Tindakan UAE juga adalah tidak waras kerana memilih untuk berdamai dengan negara yang dipimpin oleh perdana menteri Naftali Bennet yang telah bertegas sebelum ini bahawa Israel patut merampas keseluruhan Tebing Barat. Bahkan beliau juga sebelum ini pernah dengan bangga menyatakan telah membunuh beberapa orang Arab. Adalah tidak masuk akal bagi UAE untuk berdamai dengan pihak yang bangga dengan tindakan membunuh orang yang tidak bersalah dari kalangan bangsa mereka sendiri.

Hakikatnya ialah hak asasi rakyat Palestin terus dicabuli oleh Israel sehingga hari ini. Rakyat Palestin di Tebing Barat masih dijajah dengan kejam walaupun sebenarnya ini adalah salah dari segi undang-undang antarabangsa. Terkini Israel masih bertegas untuk menghalau warga Palestin di daerah SheikhJarah dan Silwan di Baitulmaqdis Timur.

Oleh itu BDS Malaysia menyeru rakyat dan kerajaan Malaysia agar tidak berdiam diri dan pasif terhadap penindasan yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin. BDS Malasia juga menyeru rakyat dan kerajaan Malaysia supaya mengutuk keputusan kerajaan UAE dan mana-mana negara Arab yang mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Sebenarnya dunia semakin bertambah benci dengan Israel kerana kezalimannya terhadap warga Palestin semakin terserlah. Sebagai bukti, susulan dari serangan zalim Israel terhadap Gaza pada bulan Mei lepas, sokongan rakyat Amerika terhadap Israel telah menurun dengan mendadak, terutama sekali dari kalangan penyokong parti Demokrat.

Di kala dunia semakin memihak kepada golongan yang tertindas dan dizalimi di Palestin, adalah amat memalukan apabila sebuah negara Arab memilih untuk menjadi rakan rapat kepada pihak yang melakukan kezaliman terhadap bangsa Arab sendiri.

BDS Malaysia oleh itu menyeru kerajaan Malaysia supaya memberikan tekanan terhadap UAE dengan memboikot Dubai Expo yang dirancang pada bulan Oktober tahun ini. Kami yakin tindakan ini perlu untuk mencelikkan mata pemimpin UAE bahawa keputusan mereka menjalin hubungan dengan rejim zalim Zionis Israel adalah sangat dibenci oleh rakyat dan kerajaan Malaysia, dan oleh itu akan merugikan mereka dalam jangka panjang.

BDS Malaysia
29 Jun 2021