Kenyataan Media dari BDS Malaysia
21hb April 2018
Lebih kurang pukul 6 pagi tadi seorang aktivis BDS Malaysia, Dr. Fadi AlBatsh dari Gaza, Palestin telah dibunuh dengan kejam semasa beliau berjalan kaki ke surau di Medan Idaman, Gombak untuk melakukan solat subuh berjemaah. Dua orang penembak yang menaiki motosikal telah melepaskan lebih dari 10 das tembakan ke kepala dan badan beliau. Beliau telah mati dengan serta merta di tempat kejadian.
BDS Malaysia ingin menyuarakan rasa sedih dan pilu di atas pemergian ahli gerakan kami yang sangat dikasihi.
Pada masa yang sama, BDS Malaysia juga sangat terkejut dan bimbang bagaimana kejadian ini boleh berlaku di negara kita sedangkan Dr. Fadi tidak pernah terlibat di dalam apa-apa aktiviti jenayah atau keganasan. Beliau adalah seorang pensyarah yang mempunyai kelulusan PhD serta pernah mendapat tajaan Yayasan Khazanah kerana prestasi yang cemerlang semasa pengajian beliau di Universiti Malaya.
Oleh kerana beliau adalah warga Palestin, sudah tentu timbul tanda tanya sama ada rejim Israel terlibat atau tidak di dalam pembunuhan ini. Ini terutama sekali kerana beberapa bulan lepas kerajaan Malaysia telah membenarkan beberapa warga Israel masuk ke negara kita dengan mudah.
Oleh itu BDS Malaysia berharap kerajaan sementara dan pihak polis akan melakukan penyiasatan yang terperinci dan menyeluruh untuk mengetahui siapakah pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan yang tidak berperikemanusian ini dan membawa mereka ke muka pengadilan dengan seberapa segera.
Akhir sekali BDS Malaysia ingin mengucapkan takziah kepada balu Dr. Fadi Al Batsh dan keluarga beliau. Semoga Allah akan memberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang sangat berat dan menyedihkan ini.
Sama-samalah kita berdoa semoga Allah akan menempatkan ruh Dr. Fadi bersama para syuhada dan solihin.
Prof. Mohd Nazari Ismail
Pengerusi
BDS Malaysia.