KENYATAAN MEDIA DARI BDS MALAYSIA
13 NOVEMBER 2018
Boycott, Divestment, Sanction – Malaysia (BDS Malaysia) mengutuk dengan sekeras-kerasnya pencerobohan terkini oleh rejim apartheid Zionis terhadap rakyat Gaza. Setakat ini hampir sepuloh bangunan awam di Gaza yang tiada kaitan dengan ketenteraan, termasuk sebuah tadika, telah sengaja disasarkan dan dihancurkan oleh kapalterbang pengebom rejim Israel tanpa mengira ancaman tindakan mereka terhadap keselamatan orang awam.
Konvensi Geneva Keempat pada tahun 1949 jelas melarang serangan terhadap orang awam dalam zon peperangan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1993 secara rasmi juga menyatakan bahawa semua keputusan Konvensi Geneva mengikat semua negara di dunia termasuk negara yang tidak menandatanganinya.
Oleh itu, BDS Malaysia menyeru PBB dan masyarakat antarabangsa untuk segera mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memaksa negara apartheid Zionis menamatkan jenayah mereka di Gaza dan membawa pemimpin Israel yang bertanggungjawab dengan serangan ganas ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Pelanggaran oleh Israel terhadap Konvensyen Geneva dalam hal ini amat jelas. Kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas terhadap Israel akan menggalakkan rejim Zionis apartheid ini untuk terus bertindak dengan jenayah zalimnya.
Para pemimpin negara-negara utama Eropah barat telah berkumpul di Perancis pada hari Ahad, 11 November untuk memperingati tarikh berakhirnya Perang Dunia Pertama. Sentimen telah dinyatakan oleh mereka tentang bencana peperangan terhadap tentera dan orang awam. Bencana yang kini berlaku di Gaza sebenarnya berkait dengan Perang Dunia Pertama. Kerajaan-kerajaan negara-negara barat di Eropah mesti melaksanakan kata-kata mereka dengan menyekat keganasan dan jenayah yang dilakukan oleh Israel sekarang kepada rakyat Palestin di Gaza. Kegagalan mereka dalam hal ini akan membongkarkan sikap kepura-puraan mereka dalam membela rakyat Palestin dari kezaliman rejim Zionis.