Penglibatan Syarikat Caterpillar dari Amerika dalam Kekejaman Terhadap Rakyat Palestin
BDS Malaysia adalah sebuah NGO yang non-partisan yang bergiat secara aman bagi menentang kezaliman Israel melalui aktiviti boikot, pelupusan saham dan sekatan. Usaha BDS (Boycott, Divestment dan Sanction) ini adalah di peringkat nasional dan antarabangsa dan disokong oleh pelbagai pihak termasuk para ilmuan, aktivis, pertubuhan bukan kerajaan, majlis perbandaran dan banyak agensi lain di seantero dunia.
Matlamat gerakan BDS adalah untuk Israel mengiktiraf Hak Asasi Negara dan Rakyat Palestin, dan mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa dengan:
1. Mengakhiri pendudukan dan penjajahan ke atas semua tanah Arab dan meruntuhkan Tembok Pemisah,
2. Mengiktiraf hak asasi warga Arab-Palestin di Israel untuk kesaksamaan sepenuhnya; dan
3. Menghormati, melindungi dan mempromosi hak-hak pelarian Palestin untuk kembali ke rumah dan harta tanah mereka seperti yang ditetapkan dalam resolusi PBB 194.
Di antara aspek kezaliman rejim Israel ialah pemusnahan dengan rakus puluhan ribu rumah kediaman milik rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Aktiviti tidak berperikemanusiaan ini kadangkala mengakibatkan kematian kerana dilakukan walaupun penghuni masih berada di dalam rumah. Jentera yang paling kerap digunakan oleh rejim zalim Israel ialah yang dibekalkan oleh syarikat Caterpillar dari Amerika Syarikat.
Di samping itu, jentera-jentera tersebut juga digunakan untuk membina ratusan penempatan haram Israel di atas tanah yang dirampas secara haram dari rakyat Palestin.
Pada 20 Julai 2016, BDS Malaysia telah mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh, Presiden dan Ketua Eksekutif syarikat Sime Darby Berhad selaku pengedar utama jentera Caterpillar di Malaysia dan di negara-negara di rantau ini.
BDS Malaysia telah meminta Sime Darby untuk berganding bahu bersama kami, serta seluruh masyarakat dunia yang bencikan kezaliman dengan memberi tekanan kepada syarikat Caterpillar supaya:
1. Jentera yang Caterpillar keluarkan tidak akan digunakan oleh Israel untuk menzalimi rakyat Palestin dan mencabuli hak asasi mereka
2. Caterpillar memutuskan terus hubungan mereka dengan rejim zalim Israel jika Israel terus menzalimi rakyat Palestin.
Malangnya sehingga hari ini pihak Sime Darby telah tidak mengambil apa-apa tindakan berkenaan perkara ini walaupun kerajaan Malaysia adalah di kalangan yang paling lantang menentang kezaliman Israel.
Sebagaimana yang kita tahu, pada 6 Disember 2017 kerajaan Amerika telah mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaan mereka ke negara tersebut. Ini menunjukkan bahawa negara Amerika dan beberapa syarikat-syarikat besar mereka seperti Caterpillar memang tekad untuk membantu Israel dalam melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin.
BDS Malaysia dengan ini meminta jasa baik Tan Sri Wahid selaku pengerusi PNB yang memiliki majoriti saham di dalam syarikat Sime Darby untuk memberi tekanan kepada Sime Darby supaya mengkaji balik hubungan perniagaan mereka dengan syarikat Caterpillar dan memboikot syarikat tersebut jika langkah itu diperlukan untuk memastikan ianya berhenti membantu kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin. Sebenarnya ini adalah sumbangan minimum yang boleh Malaysia lakukan untuk membela rakyat Palestin dari terus dizalimi oleh Israel.
Kami pasti semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kedamaian menyokong usaha murni ini.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Prof Dr. Mohd Nazari Ismail
Pengerusi
BDS Malaysia.