BDS Malaysia ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri DS Anwar Ibrahim di atas pendirian padu beliau menyokong perjuangan Palestin. Ini telah beliau nyatakan secara terbuka dalam satu sidang media semasa lawatannya ke Jerman baru-baru ini. Khususnya, beliau layak dipuji atas desakan beliau bahawa dasar Israel yang zalim dan kejam selama berdekad-dekad terhadap rakyat Palestin adalah punca konflik yang berterusan di sana.
BDS Malaysia, bagaimanapun, kecewa kerana PM memilih untuk melawat Siemens Energy sebagai sebahagian daripada jadual kunjungan beliau. Ini adalah kerana Siemens Energy adalah rakan-subahat jenayah Israel terhadap rakyat Palestin.
Siemens telah memenangi tender untuk membina EuroAsia Interconnector, kabel elektrik dasar laut dari Israel melalui Cyprus ke Greece yang akan menghubungkan grid elektrik apartheid Israel dengan EU untuk membolehkannya mengeksport elektrik daripada gas fosil ke Eropah.
Rakan kongsi Israel dalam projek ini, Israel Electricity Corporation (IEC), akan menghasilkan dan menghantar elektrik melalui Interconnector daripada grid elektrik nasionalnya yang menggabungkan, dan secara de facto mengilhak penempatan haram di bumi Palestin.
Memandangkan penempatan ini merupakan jenayah perang dan telah dikutuk sebagai pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dalam resolusi oleh PBB dan EU, EU dan Siemens telah melanggar syarat Undang-undang Kemanusian Antarabangsa (International Humanitarian Law) dan hak asasi kemanusian dengan mempromosikan dan membiayai projek pembinaan Interconnector.
Di samping itu, Siemens juga terlibat dalam jenayah aparteid Israel dan penjajahan terutamanya melalui urusniaga dengan pihak berkuasa Israel dalam beberapa sektor, termasuk pengangkutan, trafik dan kawalan penduduk di Baitulmaqdis Timur yang diduduki oleh penempatan haram Israel.
BDS Malaysia, dengan ini menyeru kerajaan Malaysia agar membatalkan sebarang koloborasi sedia ada, dan cadangan masa depan dengan syarikat Siemens sehingga syarikat itu menamatkan pengelibatan bersubahat dengan Israel dan menghentikan jenayahnya terhadap rakyat Palestin.
BDS Malaysia
18 Mac 2024