BDS Malaysia Mengecam Pembelotan Oman

KENYATAAN MEDIA
27 Oktober 2018

BDS MALAYSIA MENGECAM PEMBELOTAN OMAN

Pada masa dunia, Arab dan bukan Arab, Muslim dan bukan Islam, bersatu menyokong perjuangan pembebesan Palestin dari kezaliman Zionis Israel, adalah sangat memalukan dan sangat mengecewakan untuk melihat Oman bersetuju untuk menerima lawatan Perdana Menteri Israel.

Dan pada masa ketika negara apartheid Zionis berterusan dengan jenayah zalimnya mengarahkan tenteranya menembak mati orang awam Palestin yang tidak bersenjata yang mengambil bahagian di dalam demonstrasi `Great Return March’, keputusan oleh mana-mana negara menjadi tuan rumah kepada lawatan Netanyahu aalah satu tindakan yang benar-benar tercela, menjijikkan dan patut dikutuk, terutama sekali jika negara tersebut adalah sebuah negara Arab dan Muslim. 

BDS Malaysia dengan tidak berbelah bagi mengutuk sekeras-kerasnya keputusan pemimpin Sultan Kesultanan Oman untuk membenarkan Netanyahu melawat negaranya.

Dasar normalisasi hubungan dengan Oman dan negara-negara Teluk akan dijadikan bukti seolah-olah polisi apartheid dan penindasan oleh Israel terhadap rakyat Palestin tidak wujud atau diterima tanpa protes oleh jiran Arabnya.

Jika ketakutan terhadap Iran yang mendorong Oman dan negara-negara Teluk lain untuk berbaik-baik dengan Israel, kerajaan negara-negara tersebut sepatutnya menyingkap balik sejarah untuk mengenali hakikat negara Israel. Lupakah mereka akan peristiwa Nakba 1948, Perang Suez 1956, perang 1967, pencerobohan tahun 1982 di Lebanon? Lupakah mereka bahwa semua di atas adalah bukti kemampuan Israel untuk menceroboh negara lain termasuk negara jiran Arabnya? Mereka patut sedar bahawa sesungguhnya tindakan jenayah oleh Israel tidak akan berakhir semata-mata kerana negara-negara Teluk sanggup berbaik dengan negara apartheid Zionis itu.

Sekiranya motif tindakan mereka adalah kerana kebimbangan Iran akan mencetuskan pergolakan dalaman di negara-negara Teluk, maka pemimpin negara Teluk yang kebanyakannya adalah tidak dipilih perlu memikirkan secara mendalam reaksi rakyat mereka terhadap polisi mengadakan hubungan dengan Israel. Sebenarnya polisi ini kemungkinan besar akan menimbulkan semangat di kalangan rakyat mereka sendiri untuk menggulingkan pemimpin mereka – tanpa memerlukan gangguan luar.

Oleh itu, BDS Malaysia sekali lagi menggesa Oman dan negara-negara Teluk lain untuk terus tidak mempunyai sebarang diplomatik atau sebarang hubungan dengan negara apartheid Zionis dan mengekalkan segala usaha untuk mengasingkan Israel di peringkat antarabangsa.

 

PROFESOR MOHD NAZARI ISMAIL
Pengerusi, BDS Malaysia