UAE-Israel: Satu Pembelotan

Artikel oleh Saudara Mohd Fudzail Mohd Nor yang bertajuk “UAE-Israel, satu kombinasi” bertarikh 22 Disember 2020 di dalam kolum beliau di Malaysiakini adalah dirujuk.

Saudara Fudzail nampaknya amat mengalu-alukan langkah normalisasi Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan Israel. Sebagai umat Nabi Muhammad saw, pemikiran sebegini amat menyedihkan. Penilaian yang dibuat oleh beliau adalah berdasarkan aspek ekonomi dan keselamatan semata-mata dan membelakangkan sejarah secara total bagaimana Israel wujud.

Tindakan UAE berbaik dengan Israel tidak dinafikan boleh memberi faedah kepada UAE. Namun sekiranya kita mengambil serius tentang peringatan Allah, kita akan sedar bahawa kebaikan tidak akan sama sekali terhasil daripada perbuatan yang jahat. Sesiapa pun sekiranya berbuat baik dan berpakat dengan Iblis, sudah tentu Iblis akan memberinya banyak faedah namun ia adalah untuk jangka pendek sahaja. Sama seperti orang mencuri dan merompak, kemungkinan untuk mereka menjadi kaya ada tetapi kebiasaannya tidak lama kerana tiada keberkatan.

Untuk menilai artikel Saudara Fudzail dan tindakan yang telah dibuat oleh UAE, kita perlu mengkaji fakta-fakta sejarah dan fakta-fakta semasa bagaimana Israel boleh wujud serta mengapa Israel layak disamakan dengan Iblis.

Fakta Sejarah

  1. Fakta sejarah pertama yang MESTI kita ingat adalah Israel telah ditubuhkan pada tahun 1948 melalui pembunuhan dan pengusiran beramai-ramai rakyat Palestin dari bumi Palestin. Seluruh tanah Palestin, termasuk sebahagian (dari kawasan asal) yang dipersetujui Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai negara Palestin, telah dirampas oleh pihak Zionis. Dalam erti kata yang lain, negara Israel itu wujud melalui tindakan membunuh dan merampas hak orang Palestin.
  2. Pada tahun 1967, Israel yang tamak dan tidak berpuas hati dengan rampasan tanah sedia ada yang diperolehi pada tahun 1948 seterusnya telah menakluki Tebing Barat Sungai Jordan, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza termasuk juga Bukit Golan di Syria.

Hasil daripada pencerobohan entiti Zionis dari tahun 1948 sehingga 1967 itu, hampir 10 juta rakyat Palestin telah menjadi pelarian manakala yang tinggal di Israel telah dilayan sebagai rakyat kelas kedua negara itu. Susulan pencerobohan Israel pada ketika itu, negara-negara Liga Arab termasuk UAE telah memboikot Israel dalam semua aspek.

Fakta Semasa

  1. Sehingga kini rakyat Palestin masih terus ditindas dan hak-hak kemanusiaan mereka masih terus dicabuli oleh Israel. Tanah dan perkampungan rakyat Palestin di Tebing Barat dan Timur Baitulmaqdis tidak berhenti-henti dirampas oleh Zionis bagi mewujudkan penempatan haram rakyat Israel (dari kacamata undang-undang antarabangsa) .
  2. Israel merupakan negara yang paling banyak mencabuli atau membelakangkan undang-undang antarabangsa, resolusi PBB dan keputusan International Court of Justice dalam usaha masyarakat antarabangsa membawa kedamaian ke rantau itu dan keadilan untuk rakyat Palestin.

Sehingga kini Israel masih belum menerima padah sebagai gangster antarabangsa kerana mendapat perlindungan diplomatik dari Amerika Syarikat dan berjaya memberi tekanan dan pengaruh melalui jentera propaganda Zionis sedunia yang licik.

  1. Satu laporan telah dikeluarkan pada tahun 2017 oleh Economic and Social Commission on West Asia (ESCWA) , sebuah badan PBB, yang telah mengesahkan bahawa Israel dalam undang-undang dan lain-lain cara ia melayan rakyat Palestin, sama ada dalam Israel atau di wilayah-wilayah yang didudukinya, adalah sama seperti negara aparteid seperti Afrika Selatan sebelum 1994. Laporan tersebut juga merumuskan agar negara-negara, badan-badan sivil dan individu seluruh dunia harus menyokong kempen-kempen Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) untuk memberi tekanan ke atas Israel supaya menghormati hak-hak asasi rakyat Palestin.
  2. Usaha jalinan kerjasama dengan negara-negara Arab kini adalah sebahagian daripada reaksi kepada kempen-kempen BDS yang semakin berkesan di Eropah dan Amerika Syarikat. Israel perlu terus mencari sokongan agar hasratnya untuk menguasai dan mengusir penduduk Palestin secara total tercapai.

Oleh yang demikian, tumpuan Israel kini telah beralih kepada negara-negara Islam. Kini Israel gigih memanipulasi rejim-rejim Arab yang dahulunya tidak pernah diendahkan olehnya supaya menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara gangster itu.

Strategi yang dilaksanakan adalah dengan mensasarkan rejim-rejim seperti UAE dan Bahrain yang mudah ditakut-takutkan. Ini kerana pemimpin-pemimpin rejim-rejim berkenaan sentiasa bimbang memikirkan cengkaman kuasa mereka yang rapuh memandangkan kekuasaan yang mereka miliki tidak melalui proses demokrasi. Ditambah pula dengan bayangan ancaman dari Iran yang sering digembar-gemburkan terbukti berhasil apabila rejim-rejim Arab yang serba ketakutan itu memutuskan untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel yang kononnya boleh menambah keselamatan mereka dan memberi faedah ekonomi, seperti dicanangkan-canangkan oleh Saudara Fudzail.

  1. Keputusan pemimpin UAE untuk menjalin hubungan dengan Israel tidak mendapat persetujuan konkrit daripada rakyatnya sendiri sedangkan ini adalah keputusan yang penting. Jadi adakah wajar tindakan pemimpin UAE ini dipuji sebagai progresif atau berani atau memandang ke hadapan sekiranya tidak ada kebertanggungjawaban kepada rakyatnya sendiri? Adakah rakyat UAE gembira sebaik sahaja diumumkan negara mereka akan mengiktiraf Israel, sedangkan pada masa yang sama Israel menyatakan rampasan tanah dari rakyat Palestin di Tebing Barat hanya akan diberhentikan buat seketika dan mereka akan meneruskan perbuatan mereka di masa akan datang?

Kezaliman dan jenayah rejim aparteid Israel ke atas rakyat Palestin tidak akan berakhir selagi dunia tidak mengambil langkah-langkah konkrit untuk menekannya agar menghormati hak-hak orang Palestin. Usaha boycott, divestment and sanctions ke atas Israel adalah langkah yang terbaik. Oleh yang demikian, keputusan normalisasi oleh rejim UAE adalah satu kesilapan dan pembelotan yang besar.

Satu hakikat kehidupan manusia di dunia yang wajib kita sedari adalah manusia bukan diciptakan untuk menjadi hamba ekonomi yang hanya memikirkan perut sendiri tetapi sebagai makhluk yang berakhlak tinggi yang dahagakan keadilan bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk manusia sejagat kerana itulah asas kesejahteraan sebenar. Sekiranya semua orang berfikir seperti Saudara Fudzail, bukan sahaja Israel, malah rejim aparteid Afrika Selatan yang kejam itupun akan terus berkuasa sehingga hari ini.

by Dr. Adeeb Noor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *