Menu

Kenyataan Media dari BDS Malaysia Berkenaan Persidangan Warsaw

Kenyataan Media dari BDS Malaysia Berkenaan Persidangan Warsaw

16 Februari 2019

Ketika masyarakat di Timur Tengah dan di tempat lain terus berusaha untuk memboikot rejim apartheid Zionis, adalah sangat menyedihkan melihat para pemimpin negara Arab duduk bersama-sama perdana menteri Israel semasa sidang kemuncak Warsaw baru-baru ini. Lebih-lebih lagi apabila tiada pemimpin Arab yang membangkitkan isu keadilan bagi Palestin semasa mesyuarat itu. PM Israel sudah tentu bersemangat untuk bergambar dengan para pemimpin Arab dan dengan itu membantu beliau menyatakan dengan bangga bahawa dunia Arab sudah cenderung kepada langkah normalisasi hubungan dengan Israel, walaupun Israel kekal dengan dasarnya yang zalim terhadap rakyat Palestin. 

Tujuan Israel yang jelas adalah untuk melemahkan semua larangan rasmi Arab terhadap melakukan hubungan dengannya. Israel mengharapkan langkah ini akan memudahkan penerimaan masyarakat negara-negara Arab kepada hubungan diplomatik dengannya.

Boycott, Divestment and Sanctions (BDS Malaysia) dengan ini mengutuk dengan sekeras-kerasnya sebarang tindakan oleh negara-negara Arab yang menghadiri sidang kemuncak itu mengadakan normalisasi hubungan dengan Israel. Tindakan sedemikian adalah jelas mencerminkan sikap tidak menghiraukan nasib rakyat Palestin yang sehingga hari ini masih menjadi mangsa kezaliman Israel.

Isu Iran telah dan sedang digunakan oleh Israel untuk memanipulasi negara-negara Arab untuk bertindak dengan cara yang sangat pelik. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, para pemimpin mereka harus bertanya kepada diri mereka sendiri, antara Israel dan Iran, negara manakah sebenarnya yang lebih kerap menyerang, mengebom dan menduduki wilayah jiran-jirannya sejak beberapa dekad yang lalu? Sesungguhnya jawapannya jelas.

Negara-negara Arab sebenarnya wajib mempertimbangkan sentimen dan perasaan rakyatnya sendiri terhadap Israel yang sedang membunuh, mencederakan dan mencuri tanah dari rakyat Palestin. Sebarang langkah normalisasi dengan Israel akan membuat rakyat mereka lebih membenci pemimpin mereka. Tidak mustahil bahawa langkah mereka berbaik dengan Israel yang akhirnya boleh menyebabkan mereka digulingkan oleh rakyat mereka sendiri.

Kemungkinan besar persidangan seperti 'Warsaw Summit' akan diadakan lagi di masa hadapan. BDS Malaysia menggesa pemimpin-pemimpin negara-negara Arab mengelakkan diri mereka dari dieksploitasi oleh rejim Zionis untuk tujuannya sendiri. Sebaliknya mereka harus memberi keutamaan kepada membela nasib rakyat Palestin.

BDS MALAYSIA

back to top