Menu

KEPUTUSAN PENTADBIRAN SCOTT MORISSON MENGENAI BAITUL MAQDIS

KENYATAAN MEDIA DARI BDS MALAYSIA
17 Disember 2018

KEPUTUSAN PENTADBIRAN SCOTT MORISSON MENGENAI BAITUL MAQDIS

BDS Malaysia ingin menyuarakan perasaan terkejut dan kecewa terhadap tindakan kerajaan Australia di bawah Perdana Menteri Scott Morrison mengiktiraf Baitul Maqdis Barat sebagai ibu negara Israel. Keputusan ini menjadikan Australia `Pak Turut’ kepada kehendak puak Zionis Israel.  Disamping itu keputusan ini adalah sebenarnya bertentangan dengan pendirian kerajaan Australia sendiri selama ini yang mengatakan bahawa penyelesaian masalah di Palestin hanya boleh dicapai melalui wujudnya dua negara iaitu Palestin dan Israel. Walaupun solusi dua negara (two-state solution) adalah sebenarnya mustahil kerana Zionis Israel telah terbukti mahu merampas semua tanah milik Palestin, namun tindakan Scott Morrison ini telah mendedahkan sikap kepura-puraan pentadbirannya mengenai isu ini secara keseluruhan.

Hakikat sebenarnya ialah jika puak Zionis Israel terus mendapat sokongan walaupun sedang giat melakukan penindasan apartheid terhadap rakyat Palestin, mereka  tidak akan berusaha untuk mencari keamanan sejati dan adil dengan rakyat Palestin, sama ada dalam kerangka dua negara atau satu negara atau bahkan sepuluh negara.

Meskipun kerajaan Malaysia dan banyak negara lain telah membuat perisytiharan bahawa keputusan mengenai Baitul Maqdis harus menghormati resolusi PBB  demi mencapai keamanan yang adil dan saksama antara Israel dan Palestin, namun pentadbiran Morrison telah memilih untuk tidak menghormati Malaysia dan negara lain dengan mengabaikan semua pengisytiharan tersebut.

Oleh yang demikian, BDS Malaysia menyeru kerajaan Malaysia untuk bertindak lebih tegas terhadap kerajaan Australia dan bukan setakat mengeluarkan kata-kata kutukan terhadapnya. Antara langkah yang perlu dilakukan:

  • Kementerian Luar Malaysia perlu memanggil Pesuruhjaya Tinggi Australia dan meminta beliau menyampaikan pendirian Malaysia yang amat tidak bersetuju dengan keputusan pentadbiran Morrison.
  • KL perlu menurunkan status hubungan diplomatik semasa dengan Canberra.
  • KL harus menyemak semua hubungan perdagangan dan pertukaran dengan Australia.
  • BDS Malaysiajuga  menyeru semua rakyat Malaysia:
  • Mengambil bahagian dalam demonstrasi aman yang dirancang untuk petang hari Jumaat, 21 Disember di hadapan Suruhanjaya Tinggi Australia KL untuk menyatakan secara terang-terangan kegusaran dan bangkangan kita terhadap keputusan pentadbiran Morrison mengenai status Baitul Maqdis.
  • Mengelakkan dari membeli produk daging, tenusu, pertanian dan produk lain yang berasal dari Australia sehingga kerajaan Australia merubahkan pendiriannya berkenaan Baitul Maqdis.

Perlu dinyatakan bahawa semua keputusan di atas adalah dibuat atas dasar sikap perpaduan kita dengan semua rakyat Palestin yang  berhak hidup dengan damai dan bermaruah di negara mereka sendiri. Hak mereka  ini telah dinafikan semenjak 70 tahun yang lalu. Keadaan yang zalim terhadap rakyat Palestin selama ini sebenarnya adalah merupakan krisis moral paling buruk di zaman moden kita.

Perlu juga dinyatakan bahawa semua langkah di atas tidak bermakna kita bermusuh dengan rakyat Australia. Ia hanya mencerminkan pendirian kita yang tidak bersetuju dengan tindakan pentadbiran Morrison sahaja yang telah memilih untuk menggadaikan maruah dan mengorbankan kepentingan negara Australia semata-mata untuk menyokong hasrat Donald Trump serta memilih untuk mencontohi sikap jelik Israel yang tidak menghormati resolusi antarabangsa serta tidak menghormati  perasaan negara jiran.

Sikap pentadbiran Morrison yang menerima bulat-bulat serta menyokong  projek penjajahan serta perkauman yang zalim terhadap rakyat Palestin - yang sebenarnya merupakan kaum asal di bumi Palestin,  juga mendedahkan sifat hipokrit nya. Dalam erti kata yang lain, semua kenyataan kesedihan dan penyesalan yang diungkapkan oleh kerajaan Australia selama ini mengenai jenayah penipuan dan keganasan mereka yang lalu terhadap penduduk asal Australia sendiri adalah jelas kosong dan sebenarnya tidak bermakna langsung.

Sudah tiba masanya pentadbiran Morrison disedarkan dengan beberapa kebenaran ini walaupun ianya  mungkin sangat pahit bagi mereka.

PROFESOR MOHD NAZARI ISMAIL
Pengerusi, BDS Malaysia
Last modified onTuesday, 18 December 2018 08:48
back to top