Menu

MEMORANDUM DARI NGO-NGO PRO-PEMBEBASAN PALESTIN KEPADA KERAJAAN MALAYSIA

MEMORANDUM DARI NGO-NGO PRO-PEMBEBASAN PALESTIN KEPADA KERAJAAN MALAYSIA

15 Januari 2019

Kami, NGO-NGO Pro-pembebasan Palestin yang tersenarai di bawah ingin menyuarakan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap tindakan kerajaan Malaysia TIDAK membenarkan atlet Israel masuk ke negara ini untuk Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan diadakan pada Julai tahun ini.

Tindakan sedemikian adalah sejajar dengan dasar yang dipegang oleh kerajaan Malaysia selama ini menyekat sesiapa sahaja yang memegang pasport Israel daripada memasuki negara ini. Kerajaan Malaysia mesti mengekalkan dasar ini dengan tegas dan teguh tanpa sebarang pengecualian.

Pada tahun 2017, pentadbiran kerajaan Malaysia sebelum ini telah membuat keputusan yang tidak bijak kerana secara diam-diam membenarkan diplomat Israel masuk ke negara ini. Kesilapan itu telah diambil peluang oleh pasukan propaganda Zionis Israel yang menghebahkan ke seluruh dunia bahawa satu lagi negara majoriti Muslim telah bersetuju dengan dasar Israel terhadap rakyat Palestin. Semua dari kita wajib memastikan bahawa kesilapan itu tidak akan diulangi lagi.

Dunia telah dan sedang menyaksikan bagaimana rejim Zionis langsung tidak teragak-agak mengarahkan askar penembak jarak jauhnya untuk menembak mati rakyat Palestin dari kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersenjata termasuk wartawan, jururawat yang berpakaian seragam dan bahkan juga orang cacat. Padahal rakyat Palestin hanya memprotes untuk menuntut hak untuk pulang ke tanah air mereka semasa perhimpunan aman `Great Return March' di Gaza.  

Oleh itu janganlah sesiapa cuba menggunakan alasan karut bahawa isu sukan dan politik wajar dipisahkan. Perlu diingatkan bahawa semasa protes `Great Return March' di atas, 241 orang awam termasuk 42 kanak-kanak bawah 18 tahun, 5 wanita, 3 paramedik, 2 wartawan telah terbunuh dan 26,140 lain tercedera, akibat ditembak oleh askar Israel yang dapat melihat dengan jelas siapa yang mereka sasarkan. 

Bagi rakyat Malaysia juga, ingatan masih segar bagaimana Dr Fadi al-Batsh, warga Palestin yang juga imam serta pensyarah di Malaysia yang dikasihi oleh pelajar beliau dan semua yang mengenali beliau telah di bunuh dengan kejam di tengah-tengah Kuala Lumpur oleh pembunuh upahan rejim Zionis sekaligus mencabul kedaulatan Malaysia dalam menjalankan aktiviti keganasan mereka.

Oleh itu tiada individu atau negara yang waras boleh menjalin sebarang hubungan dengan rejim zalim Israel sama ada dalam bidang sukan, perdagangan, budaya atau mana-mana bidang sekalipun. Memboikot dan mengasingkan Israel adalah usaha paling minima yang boleh dan harus kita lakukan untuk menyuarakan kebencian kita terhadap kezaliman rejim Zionis Israel. 

Langkah pemboikotan telah terbukti berhasil menjatuhkan rejim apartheid Afrika Selatan dahlu. Oleh itu ia juga bakal berhasil menjatuhkan rejim apartheid Israel. Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah yang tepat dan betul dalam menghalang atlet Israel dari memasuki negara ini dan oleh itu layak diberi pujian dan sanjungan.

  1. BDS Malaysia
  2. Cakna Palestine
  3. MyCARE
  4. al-Quds Foundation Malaysia (QFM)
  5. Viva Palestina Malaysia (VPM)
  6. Haluan Malaysia (HALUAN)
  7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  8. Global Peace Mission (GPM) Malaysia
  9. Rose2Rose
  10. Persatuan Belia HARMONI Malaysia
  11. Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) 
  12. MAPIM
  13. SALIMAH
  14. IReach
  15. SHURA
  16. SEJAGAT
  17. AMMAR
  18. MANAR
  19. TERAS
  20. Ittihad Alami Muslim Scholars Malaysia
  21. Citizens International
  22. Asean Coalition for Palestine
  23. Persatuan Saintis Muslim Malaysia (Perintis)
  24. Muslim Care Malaysia
  25. Pertubuhan AnNida Malaysia
  26. SERANTAU MUSLIM
  27. Pertubuhan Suara Prihatin Malaysia
  28. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
  29. Pertubuhan Mawaddah Malaysia
  30. Pertubuhan IKRAM Malaysia
  31. Yayasan Amal Malaysia
  32. UniSZA Society for Humanity (HUMANE)
  33. Ummatic Mission Relief of Malaysia
  34. Movement for Monetary Justice
  35. Yayasan Muslimin Malaysia
  36. Pertubuhan Harmoni Bersatu
  37. Persatuan Darul Hana(PERDANA)
  38. Persatuan Kebajikan Sarawak (PERKIS)
  39. Pertuhuhan Komuniti Harmoni Sarawak (HARMONIS)
  40. Gabungan Salam Sarawak
  41. Persatuan Falak Syar'i Malaysia (PFSM)
  42. Gabungan Pembebasan Akademik
  43. Persatuan Penduduk Jalan P1, Taman Melawati,
back to top