Menu

Pasukan bolasepak Argentina membatalkan perlawanan di Israel Featured

KENYATAAN MEDIA' 

7 Jun 2018

BDS Malaysia menyanjung tinggi keputusan pasukan bolasepak Argentina untuk membatalkan rancangannya untuk bermain dalam satu perlawanan di Israel. Ia adalah satu keputusan yang bertepatan dengan prinsip kemanusiaan serta pada masa yang sama membayangkan sikap negatif pasukan Argentina terhadap keganasan yang telah dan sedang dilakukan oleh Israel ke atas orang awam Palestin yang menjadi mangsa kezaliman rejim Zionis itu.    

Rejim apartheid Zionis amat menunggu-nunggukan ketibaaan pasukan Argentina di Israel dan berharap sangat untuk perlawanan itu diteruskan supaya gambaran boleh diberikan kepada dunia bahawa negara Israel  dihormati masyarakat antarabangsa. Pada masa yang sama rejim Zionis mengharapkan bahawa ia adalah bukti bahawa kezalimannya terhadap rakyat Palestin  bukanlah isu yang merunsingkan atau diambilberat oleh masyarakat antarabangsa.  

Keputusan pasukan bolasepak Argentina membatalkan perlawanan dengan Israel menyuntik semangat gerakan BDS di seluruh dunia sekaligus mengecewakan rancangan rejim Zionis. Sewajarnya ia mendorong pasukan-pasukan dari negara yang lain untuk turut memulaukan rejim apartheid Zionis itu dari arena bolasepak antarabangsa.

BDS Malaysia ingin menyatakan bahawa hujah yang menyatakan sukan dan politik tidak boleh dicampur-adukkan adalah tidak berasas. Bahkan politik dan sukan wajar dicampur-adukkan apabila berbuat sedemikian adalah senjata yang efektif untuk menamatkan amalan apartheid yang merupakan satu jenayah antarabangsa. Sehubungan itu, BDS Malaysia ingin mengingatkan badan bolasepak sedunia iaitu FIFA dua perkara.  

Pertama, Persekutuan Bolasepak Asia (AFC), salah satu komponen FIFA, sejak lebih empat-puluh tahun yang lepas mengamalkan polisi bahawa negara-negara ahlinya tidak dibenarkan untuk bermain di Israel atau bermain menentang apa-apa pasukan yang ada kaitan dengan Israel. Justeru itu, FIFA sama sekali tidak boleh menganggap tindakan memboikot bolasepak Israel sebagai melanggar apa-apa peraturan badan dunia itu.  

Kedua, FIFA dalam tahun 1964 telah menggantung keahlian Afrika Selatan yang ketika itu di bawah rejim apartheid dan seterusnya dalam tahun 1976 telah menyingkirkan negara itu sama sekali. Hanya dalam tahun 1992 dengan tamatnya riwayat rejim apartheid, negara tersebut diterima kembali untuk menjadi ahli. 

Dasar-dasar apartheid yang wujud di Afrika Selatan pra-1992 kini wujud di Israel dan terkandung dalam polisi-polisi rejim Zionis itu terhadap rakyat Palestin. Satu lapuran dari Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikeluarkan dalam tahun 2017 bertajuk, “Amalan-Amalan Israel Terhadap Rakyat Palestin dan Soal Apartheid’, dengan jelas dan tanpa keraguan membuat kesimpulan bahawa Israel sedang menjalankan satu rejim dan struktur apartheid yang mengongkong dan menindas keseluruhan rakyat Palestin.     

Oleh itu, BDS Malaysia menyeru kepada FIFA untuk konsisten dalam pendiriannya dalam menentang jenayah antarabangsa apartheid dan seterusnya menyingkirkan Israel dari keahliannya dan melarang negara-negara ahli yang lain dari mengadakan apa-apa perhubungan dengan negara itu dalam arena bolesepak. 

Sementara itu, BDS Malaysia juga menggesa semua negara di dunia untuk meneladani pendirian pasukan bolasepak Argentina dan seterusnya memulaukan rejim apartheid Zionis dari segala arena, sama ada bolasepak ataupun yang lain-lain.  

Prof. Mohd Nazari Ismail, PhD.
Pengerusi 
BDS Malaysia

back to top