Menu

Tanggal 15 Mei 2018, genaplah 70 tahun sejak berlakunya peristiwa Nakba...

KENYATAAN MEDIA OLEH BDS MALAYSIA

15 MeiĀ  2018

Tanggal 15 Mei 2018, genaplah 70 tahun sejak berlakunya peristiwa Nakba, menandakan kewujudan pihak Zionis yang hingga kini terus mengganas di bumi Palestin. Hari ini juga warga dunia yang kononnya bertamadun melihat mereka memindahkan dan menjadikan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu kota Israel. Tindakan ini juga dilumuri darah syahid rakyat Palestin, iaitu insan-insan berani mati yang tidak memegang senjata, malah hanya memegang azam dan cita-cita untuk kembali ke tanah air, tanah tumpah darah mereka.

BDS Malaysia serta warga dunia yang bertamadun dan prihatin mengutuk keras tindakan yang tidak berperi-kemanusiaan oleh regim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin yang mara beramai-ramai secara aman tanpa sebarang senjata menerusi demonstrasi Great Return March di Gaza.

Dalam demonstrasi aman terkini, tentera regim Zionis Israel telah membunuh lebih daripada 55 warga Palestin secara kejam, termasuk kanak-kanak dan insan yang tidak berupaya serta mencederakan lebih daripada 1200 orang. Tindakan kejam terhadap mereka yang berarak di Great Return March secara terang membuktikan dasar kerajaan Israel yang amat keji dan bercanggah dengan undang-undang Antarabangsa dan kemanusiaan.

BDS Malaysia sekali lagi ingin menegaskan bahawa kami membantah tindakan kerajaan Amerika memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis. Pemindahan ini bercanggahan dengan persetujuan Antarabangsa tentang status Bandar bersejarah tersebut, sekali gus menghapuskan sebarang niat oleh pemerintahan Israel untuk mencari penyelesaian secara damai. Malah tindakan ini menggalakkan regim Zionis untuk terus melakukan genosid dan menguatkuasakan polisi aparteid terhadap rakyat Palestin seperti yang masih berlaku di Gaza. Tindakan ini dengan jelas membuktikan sikap tidak ikhlas Kerajaan Amerika dalam menjadi pendamai berkecuali demi menamatkan konflik ini, seterusnya mengakhiri penderitaan rakyat Palestin.

BDS Malaysia merayu kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia untuk menyedari bahawa hakikatnya kita bukanlah tidak bermaya atau tidak berupaya untuk menghalang keganasan berterusan serta tindakan aparteid regim Zionis ini terhadap rakyat Palestin. Malah sebenarnya terdapat berbagai cara dan tindakan yang boleh kita lakukan demi mendesak pihak berkuasa dunia dan PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) agar menghentikan penderitaan Rakyat Palestin dan seterusnya memberikan hak mutlak mereka di bumi Palestin.

Anda boleh menulis kepada wakil rakyat anda dan pihak media untuk menyuarakan kekejaman yang sedang berlaku di bumi Palestin dan menyarankan agar mereka membantah sekeras-kerasnya sebarang sokongan yang diberikan oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah terhadap aparteid Israel.

Anda juga boleh menyumbang dalam bentuk kewangan atau masa serta tenaga menerusi pelbagai pertubuhan yang terus berjuang untuk meringankan penderitaan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin.

Sertai Boycott, Divest, Sanction (BDS), sebuah pertubuhan NGO yang menentang aparteid Israel melalui aktiviti boikot, pelupusan saham dan sekatan. Gerakan ini juga sedang berkembang di serata dunia, kerana ia bergiat secara aman di peringkat global demi menyedarkan dunia tentang kekejaman regim Zionis Israel dan penindasan yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

Kami menyeru agar anda bersama-sama bertindak dengan segera. Pembunuhan beramai-ramai rakyat yang tidak bersalah harus DIHENTIKAN SERTA-MERTA. Janganlah kita mensia-siakan Perjuangan rakyat Palestin yang terkorban syahid.

Prof Mohd Nazari Ismail, PhD.
Pengerusi
BDS Malaysia

back to top